Setelah dibiarkan di luar rumah dan dipercayai didera selama tiga tahun, akhirnya seorang wanita buta berusia 79 tahun telah berjaya diselamatkan pada 7 Ogos yang lalu, bertempat di rumah anak saudara mangsa di Butterworth, Pulau Pinang.
Wanita malang itu dipercayai telah dipukul, disiram dengan air, dihina, dan dihalang daripada menggunakan tandas di rumah berkenaan selama bertahun-tahun, lapor Sin Chew Daily.
Ketika ditemui oleh Malaysian Tamilar Kural (MTK), iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan, dia  berada dalam keadaan basah dan duduk bersendirian di luar rumah. Disamping itu, dia juga dipercayai berasa sangat takut dengan kepulangan mengejut anak saudaranya itu.
Wanita itu mengesahkan bahawa tahap penglihatannya bertambah buruk setelah diabaikan oleh keluarganya sendiri. Tambahnya lagi, penglihatannya mula kabur sejak tahun lepas, tetapi keadaannya diabaikan oleh keluarga anak saudaranya itu.
Kesannya, wanita warga emas itu akhirnya menjadi buta kerana tidak mendapat rawatan yang diperlukan.
Bukan itu sahaja, wanita itu juga dipercayai telah menanggung penderaan fizikal yang dilakukan oleh lima orang anak kepada anak saudaranya.
Setelah diselamatkan, wanita itu dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk pemeriksaan lanjut. Kini, beliau berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Seberang Perai.
Berikutan dengan penemuan ini, dua orang suspek telah ditahan di rumah keluarga. Tangkapan itu dilakukan setelah wakil MTK membuat laporan polis bagi pihak wanita malang itu.
Oriental Daily melaporkan bahawa Ketua Polis Daerah Seberang Prai, ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, suspek yang ditangkap sedang disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana secara sukarela menyebabkan kecederaan oleh senjata berbahaya. Disamping itu, polis juga telah memfailkan permohonan untuk melanjutkan tempoh reman suspek.
Wanita warga emas berkenaan yang menerima elaun bulanan sebanyak RM300 itu juga telah berjanji untuk tidak lagi kembali ke rumah anak saudaranya itu.