GUA MUSANG – Seorang suri rumah hampir maut selepas meminum secawan kopi yang dicampurkan dengan cecair peluntur. Wanita berkenaan dikatakan mengalami sesak nafas selain pedih usus beberapa jam selepas meminum kopi berkenaan.
Mangsa yang dikenali sebagai Siti Hajar Abdullah berusia 30 tahun dari Taman Agropolitan Rantau Manis, Gua Musang ini menegaskan bahawa dia mula memberanikan diri untuk mencuba kopi campuran peluntur itu setelah dimaklumkan bahawa ia adalah sejenis kopi antiracun.
Menurut ibu kepada empat anak ini, dia yang menghidap pelbagai penyakit seperti buah pinggang, jantung, darah tinggi dan bengkak hati mula terpengaruh dengan ‘keberkesanan’ kopi berkenaan setelah menghadiri sebuah parti.
“Saya diajak seorang rakan untuk menghadiri parti produk berkenaan di salah sebuah rumah di kawasan perumahan saya. Seramai 20 orang hadir dalam majlis berkenaan.”
Tambah mangsa, “Penjual itu mendakwa kopi berkenaan adalah anti racun, anti kanser, mampu menurunkan kadar gula dalam darah, merawat batu karang dan meningkatkan metabolisme.”

Bagi membuktikan bahawa kopi campuran peluntur itu berkesan merawat pelbagai penyakit, penjual tersebut telah meminta semua hadirin dalam majlis itu untuk meminumnya. Bagaimanapun beberapa jam kemudian, mangsa mula mengalami sakit di bahagian usus serta panas pada tekak sehingga menyebabkan dia mengalami kesukaran untuk bernafas.
“Saya tahan sakit sendirian kerana takut dimarahi suami. Namun, ia semakin teruk dan saya tak boleh tahan sakit. Saya minum campuran itu pada petang Selasa dan Rabu baharu beritahu suami. Lalu suami bergegas bawa saya ke Hospital Gua Musang untuk rawatan.”

Lebih mengejutkan lagi, anak mangsa yang berusia lapan tahun turut meminum kopi itu juga.
Mangsa telah ditahan di wad dan doktor tidak menolak kemungkinan kesan sampingan yang buruk memandangkan mangsa mempunyai pelbagai penyakit.